PENGURUSAN DALAM ISLAM
Ahli Kumpulan :
Nur Izzati Syafiqah Binti Abdullah Sani (02DSK18F1021)
Norsyakila Binti Ali Mukhtar (02DSK18F1033)
Nur Syafiqah Binti Johari (02DSK18F1070)
Nurshaza Qistina Binti Sapri (02DSK18F1076)
Kod Pengajian :
Pengurusan Dalam Islam (DUA 2022)
Nama Pensyarah :
Puan Nurul Fuaddi Binti Sulaiman
Pengenalan :
Sistem pengurusan islam adalah satu sistem yang sangat lengkap dan sistematik di mana ia berpandukan kepada Al Quran dan As Sunnah. Prinsip pengurusannya jelas, penyusunan dan perancangan pengurusan yang teratur, pengawasan yang menyeluruh dan terperinci dan motivasi yang mempunyai asas yang kukuh untuk mendapatkan redha Allah dan tidak semata-mata kebendaan dan keduniaan sahaja. Pengurusan merupakan satu proses sosial selaras dengan perkembangan manusia dan komuniti di sekelilingnya. Pengurusan dikaitkan dari pengurusan sebuah keluarga, komuniti atau organisasi hinggalah kepada sebuah negara.
Sesungguhnya tiada prasangka lagi bahawa kitab terakhir yang Allah SWT
turunkan kepada Nabi Muhammad SAW menjadi sumber utama sebagai
rujukan bagi seluruh umat manusia. Al-Quran sememangnya lengkap dan
menyeluruh seperti ungkapan dalam Surah al-Baqarah:
“Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama
Islam secara menyeluruh..”
(Surah al-Baqarah, 2: 208)
Ia juga mengandungi segala macam perkara yang tidak ditinggalkan
walaupun satu aspek sebagai panduan kehidupan manusia sama ada
membabitkan perkara di dunia mahupun di alam akhirat kelak. Firman Allah
SWT:
“Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab (Al Quran) untuk menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan petunjuk serta
rahmat dan khabar gembira bagi orang Muslim.”
(Surah al-Nahl, 16: 89)
Seterusnya, turut dijelaskan dalam Surah al-An‘am:
“Tiada Kami tinggalkan sesuatu apa pun di dalam kitab (Al Quran) ini..” (Surah al-An‘am, 6: 38)
Oleh yang demikian, sistem pengurusan yang berpaksikan ajaran Al-Quran
dengan berdasarkan hadis dan sunnah Rasulullah SAW, akan melahirkan suatu sistem urus tadbir yang cemerlang,
sempurna dan berkualiti. Bagi mengurus sesebuah organisasi yang cemerlang berdasarkan ajaran Islam. Dengan itu, berhubung dengan konsep kecemerlangan
pengurusan ini sebenarnya telah pun diungkapkan dalam kitab suci Al-Quran
dari awal lagi menerusi penciptaan Allah SWT terhadap kejadian-kejadian
alam di dunia yang mementingkan aspek kesempurnaan dan berkualiti.
Nilai-Nilai Sistem Pengurusan Dalam Islam Berdasarkan Al Quran dan Hadis :
Sesebuah organisasi ataupun komuniti
akan berjaya dalam segala aspek yang diceburi sekiranya setiap ahli saling
mengamalkan nilai-nilai murni yang berkualiti dalam diri masing-masing.
Hal ini demikian kerana fitrah kesempurnaan atau kecemerlangan yang
berkualiti merupakan suatu komponen penting yang amat diperlukan.
1. Konsep Pengurusan Tahwidi
Seseorang Muslim tidak akan berjaya sekiranya dalam diri sendiri tiada
mempunyai nilai iman yang teguh dan mantap. Nilai atau prinsip iman sangat
penting untuk memastikan setiap amalan mendapat keredhaan Allah SWT. Oleh
sebab itu, tunjang kepada kualiti seseorang insan adalah bergantung
kepada sifat ketakwaan dan keimanan sejati yang dihayati dengan erti kata
sebenarnya tunduk patuh hanya kepada Allah. Segala tindakan atau pekerjaan individu tersebut akan terus
dikaitkan dengan tahap kepercayaan dan keimanan dalam dirinya sama ada
benar-benar beriman atau sebaliknya.
Oleh itu, falsafah atau konsep
menerusi prinsip atau nilai tawhidi ini menjadi teras kepada akidah seseorang
insan dalam merancang, menggubal, dan menilai suatu pengurusan. Falsafah tawhidi ini turut juga menekankan bahawa setiap
tingkah laku atau tindakan yang lahir sama ada bersifat niat, perkataan atau
perlakuan semestinya berpandukan keimanan kepada Allah SWT yang dikenali
sebagai hablu min Allah (hubungan seseorang manusia dengan Penciptanya
iaitu Allah SWT). Seterusnya diperjelaskan tentang aspek perhubungan
manusia sesama manusia (hablu min al-nas) atau dengan makhluk lain serta
alam persekitarannya. Hubungan manusia sesama manusia
akan mementingkan kerjasama dan toleransi antara mereka supaya dapat
dipertingkatkan lagi sesuatu produk ataupun perkhidmatan bagi mencapai
kesejahteraan hidup seharian.
Sekiranya nilai-nilai murni tersebut diabaikan, maka kehidupan komuniti organisasi atau masyarakat akan mengalami kemusnahan. Selain itu, sistem pengurusan sesebuah organisasi yang berkualiti semestinya
perlu dilakukan dengan konsep tawhidi ini kerana ia merupakan intipati ajaran
Islam itu sendiri. Sekiranya seseorang pekerja dalam organisasi mempunyai
nilai tawhidi yang utuh, maka beliau akan melaksanakan tanggungjawab
dan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin yang mampu membuahkan hasil dalam
usaha memartabatkan keadilan. Situasi ini bukan sahaja melahirkan nilai
kepuasan kepada para pekerja atau pelanggan, akan tetapi kesan penyebaran
luas nilai keadilan tersebut sekaligus mendatangkan kebahagiaan sejagat
dapat dinikmati.
2. Nilai Kepimpinan yang Amanah
Jika pemimpin dalam sesebuah
organisasi tidak mempunyai nilai-nilai murni sudah pasti secara langsung organisasi tersebut akan mundur. Malah, konsep kepimpinan
dalam Islam sememangnya menjadi isu atau topik terpenting dalam memastikan
pengurusan sesuatu perkara sama ada dalam aspek sosial, ekonomi, politik
ataupun pentadbiran dapat berjalan dengan lancar dan sempurna. Penekanan
terhadap nilai kepimpinan yang membawa kepada pengurusan berkualiti terutamanya apabila hendak melantik seseorang menjadi pemimpin. Kepimpinan bukanlah suatu yang teristimewa, akan tetapi
merupakan satu amanah yang amat berat yang dapat didefinisikan sebagai
suatu proses yang melibatkan seorang pengurus yang berusaha sedaya mungkin
untuk mendapatkan penyertaan secara sukarela daripada orang bawahannya
agar objektif yang ditetapkan dapat dicapai sepenuhnya. Kepimpinan
memerlukan ilmu pengetahuan, sifat keadilan (‘adalah), kecekapan, keberanian
(syaja’ah), ketabahan, kejujuran, kecekalan, akhlak mulia, kesabaran, sifat
pemaaf, kesihatan dan kesempurnaan tubuh badan serta mental dan kebijaksanaan (fatanah).
Terdapat di dalam Al Quran,
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah
dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri
(orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika
kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara,
maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah
(al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar beriman
kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik
(bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
(Surah al-Nisa’, 4: 59)
Seseorang pemimpin perlu menjalinkan perhubungan
dua hala yang erat antara pihak-pihak tertentu disebabkan mereka saling
memerlukan antara satu sama lain. Tambahan pula, pemimpin tersebut mampu
mewujudkan suasana bekerja yang kondusif serta berupaya membentuk
persefahaman antara warga organisasi, akan melahirkan suasana bekerja secara bermuafakat dan kolektif (jama‘ah). Jika sebaliknya pemimpin dalam
sesebuah organisasi bersikap autokratik, tidak mendengar rungutan pihak
pelanggan, tidak mementingkan keperluan orang bawahan atau pekerjanya,
tidak bersikap amanah (khiyanah) serta sering bersikap zalim, nescaya
organisasi tersebut akan mengalami permasalahan.
Nilai utama yang perlu wujud dalam diri seseorang pemimpin
adalah sifat amanah yang tinggi. Pemimpin
hendaklah amanah dalam menjalankan tugasnya sama ada dari aspek
perkataan iaitu jujur dengan mengotakan setiap yang dijanjikan dan juga
melalui perbuatannya dengan menunaikan sekadar termampu kepada orang
bawahannya yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Di samping itu, setiap pemimpin juga haruslah menerapkan nilai-nilai
murni yang lain dalam diri sendiri serta mempamerkan ciri-ciri kepimpinan
yang berkualiti melalui contoh terbaik kepada pihak lain.
3. Nilai Amar Makruf Nahi Mungkar
Kedua-dua istilah ini sering dikaitkan secara bersama apabila
diperbincangkan tentang tugas dakwah bagi seseorang khalifah Allah SWT.
Tugas atau misi menyampaikan perintah Allah SWT yang baik (ma‘ruf) dan
mencegah setiap yang dilarangNya (munkar) merupakan suatu tanggungjawab terutamanya dalam tradisi Nubuwwah.
Amar Makruf didefinisikan sebagai suatu ajakan atau perintah ke arah melaksanakan
amalan yang baik secara bimbingan dan nasihat yang bijaksana, bertukartukar pandangan, banyak bersabar, berlemah lembut, sering menunaikan solat
dan berdoa, berlapang dada, ikhlas dan bertoleransi. Manakala istilah nahi munkar pula ditakrifkan sebagai menyatakan sesuatu
larangan terhadap masyarakat umum agar menjauhi segala kemaksiatan atau
perkara-perkara yang negatif yang boleh mengakibatkan kehidupan umat tidak
tenteram dan aman.
Allah SWT telah berfirman dengan memerintah
agar umat manusia sentiasa menyeru ke arah kebaikan dan mencegah segala
larangan sama ada dalam al-Quran atau Sunnah Rasulullah SAW seperti:
“Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru
(berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan
menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang
daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang
bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”
(Surah Ali-‘Imran, 3: 104)
Menerusi kefahaman ayat di atas, ia menggambarkan bahawa setiap
pemimpin atau pengikut perlu memastikan nilai amar ma‘ruf dan nahi munkar
ini sentiasa dibudayakan agar sistem pengurusan dalam kehidupan seharian
dapat berjalan lancar dan berkesan. Melalui pelaksanaan kedua-dua nilai ini
juga, umat manusia terutamanya golongan Muslim diangkat martabatnya ke
peringkat yang tinggi dan dihormati oleh bangsa-bangsa yang lain.
Secara umumnya, jelas bahawa nilai amar ma‘ruf dan nahi munkar ini perlu
dijadikan satu prinsip penting dalam sistem pengurusan sesebuah organisasi
dalam masyarakat agar dapat membentuk kerangka sistem kehidupan yang
berkualiti dan terbaik mengikut perspektif dan panduan Islam sepenuhnya.
4. Perlaksanaan Keadilan (Ada'lah)
Setiap pemimpin atau pemerintah adalah wajib
menunaikan amanah yang dipertanggungjawab terhadap mereka dengan sebaik
mungkin. Sekiranya ingin melaksanakan sesuatu hukuman atau tindakan,
maka perlulah menjatuhkan hukuman secara adil dan saksama. Situasi inilah menjadi prinsip atau dasar yang utama dalam memastikan
sesuatu sistem pengurusan dalam organisasi mampu dilaksanakan dengan
sebaik mungkin secara berkualiti dan berkesan. Malah seluruh umat Islam telah
disarankan agar sentiasa berlaku adil terhadap pihak lain dalam setiap urusan
mereka dan ditegah melakukan sebarang tindakan diskriminasi atau pilih kasih
yang didasari ikatan kekeluargaan ataupun minat peribadi seseorang.
Begitu juga dengan pengagihan dan pengurusan perbelanjaan sumbersumber bagi sesebuah organisasi yang seharusnya diurus tadbir secara telus,
berhati-hati dan tiada berlaku pembaziran atau penyalahgunaan kuasa. sekiranya seseorang pemimpin organisasi bersikap
zalim dan tidak adil, pasti akan melahirkan ketidakpuasan hati para pengikut,
penindasan dan ketidakseimbangan serta tidak dihormati oleh pihak yang lain.
Seterusnya, sikap wasatiyyah atau kesederhanaan amatlah dituntut dalam Islam
yang sememangnya selari dengan fitrah atau status manusia sebagai khalifah
di muka bumi ini seperti firman Allah SWT dalam al-Quran:
“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila
membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada
bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah
betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil)
itu.”
(Surah al-Furqan, 25: 67)
5. Prinsip Pengurusan Syura'
Kalimah syura ini lahir daripada perkataan alIstisyarah yang bermaksud satu perundingan atau bermesyuarat (berbincang)
atau kerja berpasukan untuk mencari penyelesaian terhadap satu-satu masalah
dan memutuskannya apabila telah mengetahui jalan atau cara penyelesaiannya. Maksud syura sebagai satu permesyuaratan untuk
mencari pendapat atau nasihat dalam mencari sesuatu kepastian. Konsep syura diasaskan dengan tujuan
mewujudkan perbincangan dua hala antara cerdik pandai dan ahli agama
dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan.
Merujuk kepada sirah nabawiyyah, sememangnya konsep syura ini telah
pun diamalkan sejak lama dulu terutamanya oleh Baginda Rasulullah SAW dan
kemudiannya disusuli oleh para Khulafa’ al-Rasyidin dan sahabat-sahabatnya. Allah telah berfirman :
“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang yang menyahut
dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang
dengan sempurna; sedangkan urusan mereka dijalankan secara
bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan
sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”
(Surah al-Syura, 42: 38)
Kepentingan syura dapat dilihat tatkala Islam merupakan agama yang
menyeru kepada budaya tegur-menegur atau nasihat-menasihati seperti yang
ditegaskan dalam hadis Rasulullah SAW iaitu:
الدين النصيحة. قلنا : ملن؟ قال : هلل و لكتابه و لرسوله وألئمة املسلمني وعامتهم
“Agama itu nasihat. Kami berkata: Untuk siapa? Baginda
bersabda: Bagi Allah dan bagi kitabnya dan bagi Rasul-Nya serta
imam-imam kaum muslimin dan bagi orang ramai keseluruhan
mereka.”
(Riwayat oleh Imam Muslim RA)
Konsep syura turut diamalkan oleh khalifah-khalifah selepas kewafatan
Rasulullah SAW antaranya khalifah ‘Umar al-Khattab RA yang pernah
mengisytiharkan bahawa:
وقد جعل عمر بن اخلطاب اخلالفة، وهي أعظم النوازل-شورى
“Sesungguhnya ‘Umar Ibn al-Khattab telah meletakkan/
membentuk Khalifah (sistem kepimpinan) yang merupakan
urusan terbesar - berdasarkan syura.”
Jika prinsip-prinsip yang dinyatakan di atas dapat
difahami dan diamalkan oleh setiap warga dalam sesebuah organisasi sama
ada sebagai pemimpin mahupun pengikut bawahan, nescaya tiada lagi wujud
sebarang konflik organisasi. Hal ini demikian kerana setiap warganya telah pun
bersepakat untuk mencapai matlamat yang sama iaitu memperoleh kejayaan
yang hakiki (al-falah).
Rumusan :
Jelaslah bahawa konsep pengurusan organisasi yang berkualiti sudah
semestinya berlandaskan kepada ajaran Islam yang berteraskan dua sumber
primer yang menjadi panduan sepanjang zaman iaitu kitab suci al-Quran
dan Sunnah Rasulullah SAW. Konsep pengurusan tersebut membabitkan
perhubungan yang tidak dapat dipisahkan antara Pencipta (Khaliq) dan
makhlukNya serta hubungan sesama manusia dengan makhluk yang lain.
Alhamdulillah. Saya sekumpulan amat bersyukur kerana telah dapat menyiapkan tugasan yang diberikan pada tarikh yang ditetapkan. Semoga laman blog ini dapat memudahkan orang ramai dalam mencari maklumat tentang nilai-nilai sistem pengurusan dalam Islam berdasarkan Al Quran dan Hadis.
Lampiran :
1. Dalil
Maksudnya : Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa kemudian Ia bersemayam di atas Arasy mentadbirkan segala urusan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya. (Yang bersifat demikian) itulah Allah, Tuhan (yang memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu; maka tunduklah dan taatlah kamu kepada perintahNya; patutkah kamu - setelah mengetahui kenyataan yang tersebut tidak mahu mengingatiNya? (Surah Yunus : ayat 3)
2. Hadis
3. Kata-kata hikmah
Dalam kesibukan kita mengejar tuntutan di dunia, jangan kita lalai dan leka dengan bekalan kita di akhirat kerana hidup kita di dunia ini hanya sekali dan pasti tidak akan ada ulangannya bagi kita membetulkan kesilapan.
Rujukan :
1. Buku Teks Pengurusan Dalam Islam;
- Azman Che Omar
- Tahun 2008
3. Teras Utama Sistem Pengurusan Islam;
- Auni Haji Abdullah
- Tahun 2009
No comments:
Post a Comment